Ahad, 8 November 2009

Ilmu Tauhid

Keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w.

Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. - sebagaimana yang sedia maklum - ialah Rasul yang akhir sekali, tidak ada Nabi apa lagi Rasul sesudahnya.

Sesuai dengan keadaannya yang demikian, maka Baginda s.a.w. dikurniakan oleh Allah Taala beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada Rasul-rasul sebelumnya.

Agama Allah yang dibawa oleh sekalian Rasul yang diutus silih berganti adalah satu tentang perkara pokoknya, iaitu beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan beriman kepada sekalian Rasul-Nya, tetapi hukum syariatnya yang meliputi cabang-cabang dan rantingnya adalah berlainan sedikit antara satu dengan yang lain, sesuai dengan keadaan zaman masing-masing.

Apa yang kita dapati sekarang tentang keadaan yang berlainan antara satu agama dengan yang lain pada masalah pokoknya, maka itu bukanlah dari ajaran Rasul-rasul tetapi disebabkan penyelewengan penganut agama agama itu mengubah asas dan dasarnya dengan tujuan-tujuan yang tertentu.

(2) Nabi Muhammad s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk.

Di antara keistimewaan-keistimewaan yang telah dikurniakan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya yang akhir sekali - Nabi Muhammad s.a.w. ialah Baginda s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk, meliputi manusia dan jin, juga malaikat dari mula Baginda s.a.w. diutus hingga ke akhir dunia ini.

Ada pun Rasul-rasul yang sebelumnya maka mereka diutus hanya kepada kaum masing-masing. Syariat mereka berjalan kuat kuasanya dalam kalangan kaum mereka semasa hayat mereka; setelah mereka wafat maka syariat mereka dilanjutkan oleh Nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan kaumnya untuk memimpin kaum itu. Demikianlah seterusnya hingga Allah Taala mengutuskan seorang Rasul yang lain dengan membawa syariat yang baharu, yang boleh jadi berlainan sedikit dengan syariat Rasul yang telah lalu.

Demikianlah halnya antara satu Rasul dengan yang lain hinggalah kepada Rasul yang akhir sekali Nabi Muhammad s.a.w.

Setelah Baginda s.a.w. wafat, maka syariatnya dilanjutkan dan disebarkan oleh alim ulama Islam yang menjadi waris yang mempusakai ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Baginda S.A.W. Dan Sahabat-Sahabatnya

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَتَاهُ عُمَرُ فَقَالَ إِنَّا نَسْمَعُ أَحَادِيثَ مِنْ يَهُودَ تُعْجِبُنَا أَفَتَرَى أَنْ نَكْتُبَ بَعْضَهَا فَقَالَ أَمُتَهَوِّكُونَ أَنْتُمْ كَمَا تَهَوَّكَتْ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى ؟ لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً وَلَوْ كَانَ مُوسَى حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا اتِّبَاعِي. (الإمام أحمد والبيهقي)

13- Dari Jabir r.a., dari Nabi s.a.w. (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda s.a.w., lalu berkata "(Ya Rasulullah) kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran - tuan, bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?"(mendengar yang demikian) Baginda s.a.w., bersabda "Adakah kamu merasa ragu dan serba salah ( dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani yang telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam - dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari sebarang perkara syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain daripada menurutku."

(Imam Ahmad dan al-Baihaqi)

Hadis yang ketiga belas ini menerangkan:

(1) Rasulullah s.a.w. tempat rujuk sahabat-sahabat Baginda mengenai perkara-perkara agama.

(2) Kesan cerita-cerita yang dibawa oleh kaum Yahudi.

(3) Amaran Baginda s.a.w. supaya orang-orang Islam jangan berkeadaan ragu-ragu dan serba salah dalam soal agama.

(4) Penegasan Baginda s.a.w. bahawa agama Islam yang dibawanya adalah agama yang benar, bersih suci dan jelas nyata.

(5) Ketinggian agama Islam.

Huraiannya:

Baginda s.a.w. dan sahabat-sahabatnya.

Perasaan kasih kepada Rasulullah s.a.w. tidak cukup setakat kata-kata di bibir sahaja, tetapi mestilah dari hati nurani sampai kepada tingkah laku sehingga Baginda s.a.w., menjadi tempat rujuk sebarang perkara agama untuk dipatuhi dengan sepenuhnya.

Demikianlah halnya sahabat-sahabat dengan Baginda s.a.w. pada masa hayatnya sebagaimana yang dilakukan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab yang tersebut kisahnya dalam hadis ini. Setelah Baginda s.a.w., wafat maka pusaka peninggalannya - al-Qur'an dan al-Sunnah - sudah semestinya dijadikan tempat rujuk yang asasi yang wajib diturut dan dipatuhi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan