Khamis, 17 Februari 2011

Ijazah sanad

Sanad atau dalam kata lain bermaksud sandaran, sijil tauliah atau shahadah. Ia berkait rapat dengan ijazah iaitu merupakan suatu pemberian daripada guru kepada muridnya yang berkelayakan sebagai akuan (taqrir) bagi mengesahkan atau mengakui bahawa muridnya itu telah selesai dalam pengajiannya dan berjaya serta layak dianugerahkan ijazah.

Ijazah tersebut sama ada berbentuk kata-kata akuan daripada guru atau berbentuk sanad (salasilah guru yang sampai kepada Rasulullah S.A.W.) yang bertulis. Dari segi bahasa, sanad bermaksud ( سند ) iaitu yang diberi sandaran kepadanya. Dari segi istilah: sanad bermaksud salasilah peribadi-peribadi yang disebut (al-Rijal) perawi-perawi hadis jika disandarkan kepada perbahasan ilmu Hadis dan (al-Qurra') jika disandarkan kepada perbincangan ilmu al-Qiraat. Adapun kebiasaannya sanad diperolehi dengan cara pengajian secara bertalaqqi iaitu memperolehi bacaan secara berguru, dan guru tersebut juga bersanad, bukan membaca sendirian atau dengan kawan-kawan di rumah atau di mana-mana sahaja. Proses talaqqi dipersetujui oleh para ulama sebagai satu-satunya proses atau kaedah yang digunapakai dalam memindahkan bacaan al-Quran daripada seorang guru kepada muridnya. Talaqqi melibatkan interaksi dua hala iaitu (sami') dan (mushafahah) iaitu murid mendengar bacaan guru dan murid mempendengarkan semula bacaannya kepada guru.