Daripada Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sukakah engkau semua kalau saya tunjukkan akan sesuatu amalan yang dapat melebur semua kesalahan dan dengan-nya dapat pula menaikkan beberapa darjat?"
Para sahabat menjawab: "Sudah tentu, ya Rasulullah."
Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Iaitu menyempurnakan wudhu' sekalipun menemui beberapa hal yang tidak disenangi, banyaknya melangkahkan kaki untuk ke masjid dan menantikan shalat sesudah melakukan shalat. Itulah yang disebut ribath (perjuangan menahan nafsu untuk memperbanyak ketaatan pada Tuhan.)"
(Riwayat Muslim)
Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Salah Seorang di antara kami mempunyai anak. Beliau menamakannya dengan nama Muhammad. Orang ramai berkata kepadanya: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah s.a.w. Lalu orang tersebut membawa anaknya yang diletakkan di atas belakang untuk menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sampai di hadapan Rasulullah s.a.w beliau berkata: Wahai Rasulullah! Anakku yang lahir ini, aku namakannya dengan nama Muhammad tetapi orang ramai berkata kepadaku: Kami tidak akan membiarkanmu menamakannya dengan nama Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu boleh menamakannya dengan namaku, tetapi jangan menggelarkannya seperti dengan gelaranku kerana akulah Qasim, aku mengasingkan di antara kamu.
(Riwayat Muslim)
Hadis Abu Musa Al-Asy'ariy r.a:
Abu Musa telah datang menemui Umar bin Al-Khattab lalu mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abdullah bin Qais. Tetapi tidak ada jawapan, maka sekali lagi beliau mengucapkan: Assalamualaikum, ini Abu Musa, Assalamualaikum, ini Al-Asy'ariy. Kemudian beliau beredar untuk pulang, tiba-tiba Umar muncul dan berkata: Datanglah dahulu, datanglah dahulu. Setelah Abu Musa datang, Umar bertanya: Wahai Abu Musa! Mengapa engkau cepat sangat hendak pulang? Kami sedang melakukan suatu pekerjaan. Abu Musa berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Minta izin itu tiga kali. Jika engkau mendapat izin, maka engkau boleh masuk. Tetapi, jikalau tidak mendapat izin, maka pulanglah.
(Riwayat Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan