عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ ... . ( البخاري ومسلم )
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan. " Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w. menjawab: "(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah .
(Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memerintahkan supaya:
Menjauhi syirik dalam segala bentuknya.
Setelah kita mengetahui setakat mana buruknya akibat syirik, maka dengan ini kita diperintahkan supaya menjauhi dan menyingkirkan segala jenis syirik terhadap Allah, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.
Syirik yang besar atau yang nyata itu ialah: mempercayai adanya sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah s.w.t., yang ditujukan kepadanya doa permohonan, yang diuntukkan kepadanya satu-satu cara ibadat, dan yang ditakuti bala bencananya.
Dengan adanya syirik yang demikian, maka akidah Tauhid orang yang melakukannya telah berbelah bagi, dan orang Musyrik inilah yang dijanjikan Allah dengan neraka.
Syirik yang kecil atau yang tersembunyi itu pula ialah kepercayaan perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau undang-undang peraturan Allah.
Syirik yang tersembunyi itu amat banyak, di antaranya:
(1) Mempercayai sesuatu yang menjadi sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan baik atau buruk.
(2) Menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.
(3) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain dari Allah.
(4) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.
(5) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan Si anu, tentulah aku tidak berjaya.
(6) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri.
(7) Melakukan sesuatu ibadat, atau daya usaha pengorbanan, atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi juga untuk tujuan-tujuan yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan