عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ قَالَ أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ … . ( البخاري ومسلم )
- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Aku telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w.,: "Apakah satu-satunya dosa yang terbesar di sisi Allah.?" Baginda s.a.w., menjawab: "(Dosa yang terbesar di sisi Allah itu) ialah: Engkau mengada-adakan bagi Allah sesuatu yang menyamaiNya pada hal Dia menciptakanmu..."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kesepuluh ini mengandungi:
(1) Rasulullah s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat-sahabat Baginda.
(2) Syirik adalah satu-satunya dosa yang terbesar.
Huraiannya:
Baginda s.a.w. menjadi tumpuan pertanyaan sahabat sahabatnya.
Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dalam masa menjalankan tugasnya membuka dengan seluas-luasnya pintu pertemuan dengannya kepada segala lapisan masyarakat untuk mereka menanyakan apa yang mereka musykilkan berhubung dengan soal-soal agama.
Dalam hadis ini, Abdullah bin Mas'ud seorang sahabat Nabi yang terkenal bertanya kepada Baginda s.a.w. tentang dosa yang terbesar di sisi Allah, iaitu satu perkara yang sangat mustahak diketahui oleh setiap orang.
Islam dalam setiap masa, lebih-lebih lagi dalam masa - yang boleh dikatakan- manusia leka dengan soal-soal hidup semata-mata, tidak mahu mengambil berat mempersoalkan perkara-perkara dosa dan pahala.
Soal syirik.
Bagi menjawab pertanyaan sahabat Baginda yang tersebut, Baginda s.a.w. menegaskan bahawa di antara dosa-dosa yang terbesar ialah melakukan syirik terhadap Allah s.w.t. serta Baginda s.a.w. menerangkan bahawa amatlah tidak patut seseorang itu mempersekutukan atau menyamakan Allah Taala dengan sesuatu yang lain, sedang Allah yang menciptakannya dari tiada kepada ada.
Orang Musyrik yang demikian bukan sahaja tidak patut menurut timbangan akal yang siuman, bahkan telah berlaku zalim terhadap dirinya sendiri kerana dengan bawaan syiriknya ia telah mendedahkan dirinya kepada azab seksa yang tidak terperi yang akan diterimanya kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan