Daripada Abu Darda' r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiada tiga orang pun yang berada dalam suatu kampung atau suatu desa yang di kalangan mereka tidak didirikan solat (berjamaah), melainkan syaitan telah dapat memenangkan mereka itu. Maka dari itu, hendaklah kamu semua tetap menjaga berjemaah, sebab hanyasanya serigala itu dapat makan dari kambing yang jauh (yakni yang terpencil dari kawanannya). "
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad hasan.
Daripada Usman r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang mengerjakan solat Isya' dengan berjemaah, maka seolah-olah ia mendirikan solat separuh malam dan barangsiapa yang mengerjakan solat Subuh dengan berjemaah, maka seolah-olah ia mendirikan shalat semalam suntuk."
(Riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a. pula katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak ada suatu solat pun yang lebih berat dirasakan oleh orang-orang munafik itu daripada solat Subuh dan Isya', tetapi andaikata mereka mengetahui betapa besar pahalanya kedua solat itu, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan berjalan merangkak (ke tempat berjemaahnya) ."
(Muttafaq 'alaih)
Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya, "Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w., "Manakah amalan yang lebih utama?"Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu solat tepat pada waktunya."Saya bertanya lagi, "Kemudian amalan apakah?"Beliau s.a.w. menjawab: "Berbakti kepada kedua orang tua."Saya bertanya pula, "Kemudian apa lagi?"Beliau s.a.w. menjawab: "Iaitu berjihad fi-sabilillah. "
(Muttafaq 'alaih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan