Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w
Berhubung dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , Allah Taala berfirman dalam Surah al-A'raf ayat 158. Memerintahkan Baginda s.a.w. mengisytiharkan dirinya menjadi Rasul yang diutus oleh Allah kepada umat manusia seluruhnya, serta menerangkan bahawa:
(1) Allah sahajalah Tuhan yang mempunyai kuasa mengurus dan mentadbirkan kepentingan-kepentingan dan kebaikan sekalian alam yang diciptakan-Nya.
(2) Allah sahajalah Tuhan yang berhak disembah dan dipatuhi.
(3) Allah jualah yang mengatur cara dan menetapkan masa menghidupkan makhluk-makhluk yang mati dan mematikan yang hidup.
(4) Seluruh umat manusia wajib:
(a) Beriman kepada Allah Tuhan yang demikian sifat-Nya (Esa pada "Uluhiyah"-Nya dan Esa pada "Rububiyyah"Nya)
(b) Beriman kepada Rasulullah s.a.w. nabi yang terkenal dengan sifat Ummi(1), yang beriman kepada Allah dan kepada semua perintah yang terkandung dalam segala kitab yang diturunkan oleh Allah.
(c) Menerima dan menurut hukum hakam dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w.
______________________________
(1) Sifat "Ummi" ialah sifat tidak pandai membaca dan menulis.
Kepada Nabi Muhammad s.a.w. , sifat ini ialah satu di antara sifat-sifat kelebihan yang teristimewa bahkan di antara mukjizat-mukjizat yang membuktikan sahnya dakwaan Baginda s.a.w. menjadi Rasul kerana:
Pertama - Kebolehannya dan kecekapannya membetulkan akidah kepercayaan umatnya yang sesat.
Memperbaiki akhlak mereka yang buruk, dan menyatupadukan puak-puak kaumnya yang bermusuhan, sedang Baginda s.a.w., tidak tahu membaca dan menulis, adalah perkara luar biasa yang tidak pernah dikurniakan Tuhan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya s.a.w.
Kedua - Kebolehan dan kecekapan Baginda s.a.w. menjalankan tugas dan menyampaikan segala yang telah disampaikannya meliputi al-Qur'an dan Hadis, sedang Rasulullah s.a.w. bersifat "Ummi" adalah baka yang nyata yang menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. dapat mencapai semuanya itu dengan jalan wahyu semata-mata - sebagai utusan Tuhan
Dan lagi berhubung dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w Baginda sendiri menerangkannya dalam hadis yang berikut:
Perkara : Wajib Beriman Kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dan Agama Islam Yang Dibawanya
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَسْمَعُ بِي أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ. ( مسلم )
Dari Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaanNya. tidak ada seseorang pun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani, yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah), kemudian ia mati sedang ia tidak beriman dengan (agama Islam) yang aku diutuskan membawanya melainkan menjadilah ia dari ahli neraka". .
(Muslim)
Hadis yang kesebelas ini menerangkan tentang:
Wajib beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan agama Islam yang dibawanya.
Huraiannya.
Sesiapa jua yang berada pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. atau yang datang kemudian hingga ke hari Qiamat diwajibkan beriman kepada Baginda s.a.w. dan kepada agama Islam yang dibawanya apabila berita kerasulan Baginda s.a.w. sampai kepadanya. Jika tidak maka orang itu dihukumkan kafir dan akan menerima azab seksa neraka disebabkan kekufurannya itu.
Hukum ini meliputi seluruh umat manusia termasuk kaum Yahudi dan Nasrani yang mempunyai kitab Taurat dan Injil.
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak harus berdalih untuk tidak menerima agama Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w., dengan sebab mereka ada mempunyai kitab, kerana kitab-kitab mereka kalaulah tidak disebabkan mereka meminda, mengurangi dan menokok-tambahnya, sudah pun mansukh setelah habis masa kegunaannya dengan kedatangan Rasul yang akhir sekali - Nabi Muhammad s.a.w. dan kitab suci al-Qur'an yang dibawanya.
Keistimewaan Nabi Muhammad S.A.W.
عَنْ جَابِر بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ قبلي …. وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً. وَفِي رِوَايَةِ أَبِي هُرَيْرَةَ عِنْدَ مُسْلِمٍ (… وَأُرْسِلْتُ إِلَى الْخَلْقِ كَافَّةً ) ( البخاري ومسلم )
Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku dikurniakan beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan perkara-perkara itu kepada seseorang pun dari Nabi-nabi yang terdahulu daripadaku; dan biasanya seseorang Nabi itu diutuskan kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada umat manusia seluruhnya."
Dan pada satu riwayat Imam Muslim dan Abu Hurairah
(Baginda s.a.w. bersabda): "....sedang aku diutuskan kepada sekalian makhluk."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kedua belas ini mengandungi:
(1) Nabi Muhammad s.a.w. dikurniakan beberapa keistimewaan,
(2) Baginda s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk,
Huraiannya:
(1) Keistimewaan Nabi Muhammad s.a.w.
Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. - sebagaimana yang sedia maklum - ialah Rasul yang akhir sekali, tidak ada Nabi apa lagi Rasul sesudahnya.
Sesuai dengan keadaannya yang demikian, maka Baginda s.a.w. dikurniakan oleh Allah Taala beberapa keistimewaan yang tidak pernah diberikan kepada Rasul-rasul sebelumnya.
Agama Allah yang dibawa oleh sekalian Rasul yang diutus silih berganti adalah satu tentang perkara pokoknya, iaitu beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan beriman kepada sekalian Rasul-Nya, tetapi hukum syariatnya yang meliputi cabang-cabang dan rantingnya adalah berlainan sedikit antara satu dengan yang lain, sesuai dengan keadaan zaman masing-masing.
Apa yang kita dapati sekarang tentang keadaan yang berlainan antara satu agama dengan yang lain pada masalah pokoknya, maka itu bukanlah dari ajaran Rasul-rasul tetapi disebabkan penyelewengan penganut agama agama itu mengubah asas dan dasarnya dengan tujuan-tujuan yang tertentu.
(2) Nabi Muhammad s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk.
Di antara keistimewaan-keistimewaan yang telah dikurniakan oleh Allah Taala kepada Rasul-Nya yang akhir sekali - Nabi Muhammad s.a.w. ialah Baginda s.a.w. diutus kepada sekalian makhluk, meliputi manusia dan jin, juga malaikat dari mula Baginda s.a.w. diutus hingga ke akhir dunia ini.
Ada pun Rasul-rasul yang sebelumnya maka mereka diutus hanya kepada kaum masing-masing. Syariat mereka berjalan kuat kuasanya dalam kalangan kaum mereka semasa hayat mereka; setelah mereka wafat maka syariat mereka dilanjutkan oleh Nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan kaumnya untuk memimpin kaum itu. Demikianlah seterusnya hingga Allah Taala mengutuskan seorang Rasul yang lain dengan membawa syariat yang baharu, yang boleh jadi berlainan sedikit dengan syariat Rasul yang telah lalu.
Demikianlah halnya antara satu Rasul dengan yang lain hinggalah kepada Rasul yang akhir sekali Nabi Muhammad s.a.w.
Setelah Baginda s.a.w. wafat, maka syariatnya dilanjutkan dan disebarkan oleh alim ulama Islam yang menjadi waris yang mempusakai ilmu-ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda S.A.W. Dan Sahabat-Sahabatnya
عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَتَاهُ عُمَرُ فَقَالَ إِنَّا نَسْمَعُ أَحَادِيثَ مِنْ يَهُودَ تُعْجِبُنَا أَفَتَرَى أَنْ نَكْتُبَ بَعْضَهَا فَقَالَ أَمُتَهَوِّكُونَ أَنْتُمْ كَمَا تَهَوَّكَتْ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى ؟ لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً وَلَوْ كَانَ مُوسَى حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا اتِّبَاعِي. (الإمام أحمد والبيهقي)
Dari Jabir r.a., dari Nabi s.a.w. (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda s.a.w., lalu berkata "(Ya Rasulullah) kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran - tuan, bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?"(mendengar yang demikian) Baginda s.a.w., bersabda "Adakah kamu merasa ragu dan serba salah ( dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani yang telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu agama Islam - dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci (dari sebarang perkara syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi, (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain daripada menurutku."
(Imam Ahmad dan al-Baihaqi)
Hadis yang ketiga belas ini menerangkan:
(1) Rasulullah s.a.w. tempat rujuk sahabat-sahabat Baginda mengenai perkara-perkara agama.
(2) Kesan cerita-cerita yang dibawa oleh kaum Yahudi.
(3) Amaran Baginda s.a.w. supaya orang-orang Islam jangan berkeadaan ragu-ragu dan serba salah dalam soal agama.
(4) Penegasan Baginda s.a.w. bahawa agama Islam yang dibawanya adalah agama yang benar, bersih suci dan jelas nyata.
(5) Ketinggian agama Islam.
Huraiannya:
(1) Baginda s.a.w. dan sahabat-sahabatnya.
Perasaan kasih kepada Rasulullah s.a.w. tidak cukup setakat kata-kata di bibir sahaja, tetapi mestilah dari hati nurani sampai kepada tingkah laku sehingga Baginda s.a.w., menjadi tempat rujuk sebarang perkara agama untuk dipatuhi dengan sepenuhnya.
Demikianlah halnya sahabat-sahabat dengan Baginda s.a.w. pada masa hayatnya sebagaimana yang dilakukan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab yang tersebut kisahnya dalam hadis ini. Setelah Baginda s.a.w., wafat maka pusaka peninggalannya - al-Qur'an dan al-Sunnah - sudah semestinya dijadikan tempat rujuk yang asasi yang wajib diturut dan dipatuhi.
(2) Kesan cerita-cerita yang dibawa oleh kaum Yahudi.
Orang-orang Yahudi sentiasa bekerja keras untuk menarik orang-orang lain kepada agama mereka, dengan menjalankan berbagai-bagai cara terutama dengan menyebarkan berbagai kisah dan cerita yang menarik hati pembaca dan pendengarnya, sehingga Sayidina Umar telah meminta pendapat Rasulullah s.a.w., iaitu bolehkah orang-orang Islam memetik dan menyalin cerita-cerita yang tersebut? Bagi menjawabnya, Baginda s.a.w. telah melarang keras seperti yang terkandung dalam hadis ini.
(3) Amaran Baginda s.a.w. supaya orang-orang Islam jangan berkeadaan ragu-ragu dan serba salah dalam soal agama yang dibawanya.
Baginda s.a.w. memberi amaran supaya sahabat-sahabat Baginda -juga seluruh umatnya - jangan terpengaruh dengan di'ayah-di'ayah agama lain, sebaliknya hendaklah mereka sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap propaganda pihak lain yang beranika ragam itu.
Baginda s.a.w. juga menegaskan supaya jangan mereka berkeadaan bingung atau berperasaan ragu-ragu terhadap soal agama, lalu terburu-buru hendak menerima di'ayah pihak lawan kerana mengikut kecenderungan hati dan terpengaruh kepada kemanisan cerita-cerita itu.
Sikap ragu-ragu dan meraba-raba dalam perkara agama, tegas Baginda s.a.w; lagi, adalah sikap kaum Yahudi dan Nasrani dan kerana itulah mereka telah menyeleweng dari ajaran-ajaran kitab-kitab mereka, bahkan mereka telah merosakkan kandungannya dengan meminda dan menokok tambahnya sebagaimana yang dianjurkan oleh ketua-ketua agama mereka untuk kepentingan dirinya.
(4) Penegasan Baginda s.a.w.: Bahawa agama Islam yang dibawanya adalah yang benar, bersih suci dan jelas nyata.
Tiap-tiap seorang Islam tidak harus merasa ragu-ragu terhadap kebenaran agama Islam yang menjadi pegangan hidupnya. Tidak ada sebab mengapa seseorang Muslim boleh terpengaruh kepada di'ayah kaum Yahudi dan Nasrani atau lain-lain pihak yang bukan Islam.
Sebenarnya apa yang sepatutnya dijadikan ukuran benar dan salahnya satu-satu agama ialah tentang keasliannya - tidak berubah dengan pindaan dan tokok tambah, tentang kesucian dan kebersihannya daripada sebarang perkara yang berupa syirik, dan tentang ajarannya yang jelas nyata dari sebarang perkara yang mengeliru dan meragukan.
Hakikat keaslian yang demikian tidak ada wujudnya melainkan pada agama Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang terpelihara dengan sebaik-baiknya dalam kitab suci al-Qur'an al-Karim dan hadis-hadis yang sahih.
(5) Ketinggian agama Islam.
Islam tetap tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.
Tentang hakikat yang demikian Baginda s.a.w. menegaskan dalam hadis ini, bahawa kalaulah ditakdirkan Nabi Musa a.s. yang telah membawa syariat Taurat itu masih hidup dalam zaman Baginda s.a.w. sudah tentu tidak ada jalan lagi baginya selain daripada mengikut agama Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w.
Dengan itu nyatalah tidak harus bagi sesiapa pun - walau apa bangsa dan keturunannya - berdegil di atas agama yang lain dari agama Islam.
عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ بَدَا لَكُمْ مُوسَى فَاتَّبَعْتُمُوهُ وَتَرَكْتُمُونِي لَضَلَلْتُمْ عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ وَلَوْ كَانَ حَيًّا وَأَدْرَكَ نُبُوَّتِي لَاتَّبَعَنِي. ( الدارمي )
Dari Jabir, r.a., bahawa - Rasulullah s.a.w., bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya. kalaulah Nabi Musa muncul kepada kamu, lalu kamu mengikutnya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu akan sesat dari jalan yang betul; dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa aku menjadi Nabi, sudah tentu ia menurutku."
(Al-Daarimi)
Hadis yang keempat belas ini menerangkan
Syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. memansukhkan syariat-syariat yang lain.
Rasul-rasul yang diutus oleh Allah Taala kepada kaum masing-masing banyak bilangannya. Di antaranya ada yang diturunkan kitab kepadanya, seperti Nabi Musa a.s. yang menerima kitab Taurat.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menjelaskan: Bahawa syariat Islam yang dibawanya adalah memansukhkan syariat Rasul-rasul yang telah lalu.
Oleh itu tidak harus bagi sesiapa pun yang ada pada zaman Baginda s.a.w. atau yang datang kemudian - menurut syariat-syariat yang telah mansukh itu, apa lagi agama-agama yang direka oleh manusia sendiri.
Tentang ini Baginda s.a.w. menegaskan, bahawa kalaulah Nabi Musa a.s. tiba-tiba muncul pada zaman Baginda s.a.w., dan ada orang-orang Islam yang menurutnya dengan meninggalkan syariat Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w., nescaya orang itu termasuk dalam golongan yang sesat kerana ia menurut syariat yang telah mansukh pada hal - tegas Baginda s.a.w. - sekiranya Nabi Musa a.s. masih hidup dalam masa kerasulan Baginda s.a.w., nescaya Nabi Musa juga akan menurut syariat Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w.
Tidaklah sepatutnya timbul sebarang kemusykilan tentang sesuainya agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. , dengan keadaan umat manusia dalam setiap masa, dengan tidak memerlukan sebarang pindaan atau perubahan kerana bila diperhati akan ternyata bahawa Islam adalah berdasarkan kaedah-kaedah umum yang banyak cawangannya, yang dapat menghadapi cabaran-cabaran zaman, - dapat menghakimi kejadian-kejadian yang berlaku dan dapat pula memecahkan masalah-masalah yang timbul dalam masa.
Jelasnya, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah lengkap mengandungi hukum hakam dan cara peraturan meliputi segala bidang hidup, yang menjadikannya sesuai dengan keadaan umat manusia dalam segala zaman dan di mana sahaja mereka berada selagi sifat kemanusiaannya tidak berubah, sehinggakan Nabi Isa a.s. semasa turun pada akhir umur dunia kelak akan melanjutkan dan mengembangkan lagi syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., sebagaimana yang diterangkan dalam hadis yang berikut:
- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا نَزَلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ فَأَمَّكُمْ ،، قَالَ ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ فَأَمَّكُمْ بِكِتَابِ رَبِّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَسُنَّةِ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ . ( مسلم)
Dari Abu Hurairah, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh baik keadaan kamu ketika Isa Ibn Mariam turun dalam kalangan kamu, lalu ia memimpin kamu." Salah seorang rawi hadis ini (Ibn Abi Dzi'b) menerangkan dengan katanya: "Lalu ia memimpin kamu dengan menurut kitab Allah al-Qur'an dan Sunnah Nabi kamu"
(Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan