Ahad, 16 Ogos 2009

Hadis Rasulullah s.a.w

Daripada Aisyah r.a., katanya, "Tidak pernah sama sekali Rasulullah s.a.w. itu diberi pemilihan antara dua macam perkara, melainkan beliau s.a.w. tentu mengambil (memilih) yang termudah di antara keduanya itu, asalkan yang dianggapnya termudah ini bukannya merupakan suatu hal yang dosa."

"Jikalau hal itu berupa suatu dosa, maka beliau s.a.w. adalah sejauh-jauh manusia daripadanya. Rasulullah s.a.w. juga tidak pernah sama sekali membalas sesuatu yang ditujukan pada diri peribadinya, melainkan jikalau kehormatan Allah itu dilanggar, maka beliau s.a.w. pasti membalasnya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah belaka."

(Muttafaq 'alaih)

Daripada Ibnu Mas'ud r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sukakah engkau semua saya beritahu tentang siapakah orang yang diharamkan masuk neraka atau kepada siapakah neraka itu diharamkan memakannya? Neraka itu diharamkan untuk orang yang dekat pada orang banyak (yakni baik dalam bergaul), lemah-lembut, berhati tenang (tidak gelabah dalam menghadapi sesuatu)serta bersikap mudah (yakni mudah dihampiri untuk diminta pertolongan) ."

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.


Daripada Aisyah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. itu sama sekali tidak pernah memukul dengan tangannya, baik terhadap seseorang wanita ataupun khadamnya, melainkan di waktu beliau s.a.w. sedang berjihad fi-sabilillah (yakni di medan pertempuran melawan kaum kafir). Tidak pernah pula beliau s.a.w. itu terkena sesuatu yang menyakiti, lalu memberikan pembalasan kepada orang yang berbuat terhadap beliau itu, kecuali jikalau ada sesuatu dari larangan (larangan Allah yang dilanggar), maka beliau memberikan pembalasan kerana mengharapkan keredhaan Allah Ta'ala."

(Riwayat Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan