Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash r.a. bahawasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Manakah amalan Islam yang terbaik?" Beliau menjawab: "Iaitu engkau memberikan makanan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang sudah engkau kenal dan orang yang belum engkau kenal."
(Muttafaq 'alaih)
Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."
(Muttafaq 'alaih)
Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan masuk syurga kamu semua itu sehingga kamu semua beriman dan tidak akan dinamakan beriman kamu semua sehingga kamu semua saling cinta-mencintai. Tidakkah kamu semua suka kalau saya menunjukkan kepadamu semua sesuatu yang jikalau kamu semua lakukan tentu kamu semua akan saling cinta-mencintai? Iaitu sebarkanlah salam sesama kamu!"
(Riwayat Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Orang yang berkenderaan supaya memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang berjalan kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit kepada orang yang banyak jumlahnya."
(Muttafaq 'alaih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan