Rabu, 20 Mei 2009

Dakwah dan Pendakwah

قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ }يوسف108

108. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain."


Setiap umat Islam adalah pendakwah, masing-masing ada tugas untuk mengajak manusia lain kepada Islam dan mengamalkan Islam. Malah urusan dakwah perlu dipelbagaikan mengikut sasaran penerimanya.
Mungkin beberapa orang pendakwah perlu dihantar ke beberapa perkampungan orang Asli untuk duduk bersama orang Asli beberapa lama bagi tujuan mengislamkan mereka. Tetapi untuk mendakwah orang Cina atau India, tidak perlu duduk bersama mereka, tetapi cukup dengan bergaul dengan mereka setiap hari.

Tetapi satu persoalan yang perlu fikirkan hari ini, sejauhmana umat Islam menjalankan kerja dakwah tersebut. Berapa ramai yang turun padang dan berada di lokasi dakwah dalam tempoh yang lama? Negara ini negara kita dan Perlembagaan Persekutuan melindungi Islam dan umatnya dalam urusan dakwah, tetapi kenapa kita takut untuk berdakwah.

Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Menurut perkara itu Islam menjadi agama untuk seluruh negara termasuk dalam perkampungan orang Asli. Ke mana tempat yang kita pergi di seluruh perusuk negara boleh dilaksanakan Islam di situ. Jika ada pihak yang menghalang pengamalan Islam di situ, mereka sebenarnya telah melanggar perlembagaan.

Walau bagaimanapun perlembagaan memberi kebenaran kepada pengamal agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka dengan bebas. Malah mereka boleh menyebarkan agama mereka kepada orang lain selain daripada umat Islam.

Selain itu dengan peruntukan Perkara 3(1) juga menjadikan Islam berada di atas dalam pentadbiran negara. Ertinya, pemerintahannya mesti berasaskan Islam, pemimpinnya orang Islam dan semua urusan dalam pentabiran dirujuk kepada Islam.

Berdasarkan itu, urusan dakwah di negara ini boleh dijalankan dengan bebas tanpa kekangan mana-mana pihak malah disokong oleh pemerintah. Tetapi sejak negara merdeka sehingga ke hari ini, urusan dakwah di negara ini masih terdapat kekangan kerana semua pihak yang terlibat tidak benar-benar memahami peruntukan perlembagaan itu.
Pendakwah yang melebalkan diri mereka sebagai pendakwah bebas kononnya akan bergerak ke mana-mana tempat di negara ini berdasarkan permintaan. Ada yang memberi ceramah di masjid, ada juga yang berceramah di surau, dan tidak kurang juga yang membentangkan kertas kerja di dewan tertentu. Pendakwah bebas atas nama bebasnya agak lantas memberi hujah termasuk mengkritik pemerintah.

Tetapi belum ada lagi pendakwah bebas ini turun padang ke kampung orang Asli dalam tempoh yang lama. Apatah lagi untuk duduk berkampung dan berkahwin dengan orang Asli. Alasannya, tiada siapa yang sanggup membayar perkhidmatan mereka dalam tempoh dalam perkampungan itu.

Manakala pendakwah kerajaan pula, mereka tertakluk kepada peraturan pejabat, kalau dipanggil untuk memberi ceramah di masjid dan surau atau di mana-mana seminar anjuran kerajaan, mereka dibayar alaun. Malah kadang-kadang penganjur akan memberi saguhati lagi kepada mereka.

Sungguhpun begitu, mereka juga berpeluang berdakwah di tempat tertentu di luar waktu pejabat. Namun mereka pergi ke tempat tersebut atas permintaan penganjur dan dibayar setiap kali memberi ceramah di situ.

Persoalan sekarang, adakah pendakwah kerajaan turut turun padang berdakwah orang bukan Islam termasuk orang Asli? Jawapannya, ada. Tetapi tenaganya tidak ramai dan waktu yang diperuntukkan amat terbatas. Mungkin masuk kawasan orang bukan Islam hanya untuk urusan memberi hadiah. Dan keberadaan mereka di perkampungan orang Asli hanya selama dua tiga hari.

Kadang-kadang pendakwah kerajaan ini menjadikan aktiviti ini sekadar untuk menghiburkan diri bagi menghilangkan tekanan kerja di pejabat. Selain itu mereka beroleh alaun bertugas di luar pejabat.

Keadaan ini amat berbeza dengan mubaligh Kristian, mereka membuat kerja dengan betul-betul. Selain tenaga mereka yang ramai, mereka sanggup berkampung dan beranak pinak di sesuatu tempat yang menjadi sasaran mereka.

Bagi mubaligh Kristian mereka tidak fikirkan soal kewangan kerana banyak NGO bukan Islam yang memberi sokongan kepada mereka. Mereka tidak perlu fikir hendak makan apa kerana di mana mereka pergi, mereka boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat dan boleh makan bersama mereka.

Dalam hal ini saya mengucap syabas kepada kumpulan Tabligh kerana mereka sanggup berjalan seluruh dunia untuk berdakwah tanpa memikirkan soal kewangan. Mereka sanggup keluar duit sendiri malah sanggup cuti tanpa gaji untuk urusan dakwah.
Walau bagaimanapun penulis tidak tahu apakah pendakwah ini turut turun padang menemui orang bukan Islam termasuk orang Asli. Apa yang boleh dipastikan, mereka juga bergeligar dalam kalangan orang Islam dan mengajak orang yang sedia ke masjid dan surau untuk bersama–sama mereka.

Jelas di sini, peruntukan perlembagaan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam, pihak berkuasa agama, dan kerajaan sendiri. Semua pihak hanya bertindak sekadar melepaskan batuk di tangga.

Hakikatnya kita tidak serius mengajak orang lain untuk mengenali Islam walaupun tidak sanggup mengajak mereka kepada Islam. Buktinya, sepanjang kita bergaul dengan kawan kita yang bukan Islam, pernahkan kita menceritakan kebaikan Islam kepadanya? Kita tidak berani, kononnya sensitif. Padahal mereka tidak pernah berfikiran begitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan